RUMAH API JUGRA
Pelayaran merentasi  Selat Melaka sudah terkenal sejak abad ketiga masehi lagi. Bukit Jugra sudah dikenali oleh ramai pedagang-pedang Arab, India, Siam dan China, lama sebelum kedatangan penjajah Barat Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis. Apatah lagi setelah pembukaan Terusan Suez yang menyaksikan ratusan kapal-kapal wap merentasi Selat Melaka untuk ke India,China dan Asia Timur.
Sebelum wujudnya rumah api pertama yang dibina oleh Portugis di Tanjung Tuan selepas 1511, pelayar dan pelaut menjadikan beberapa lokasi termasuk Bukit Jugra sebagai pedoman pelayaran. Jarak dan masa pelayaran dikira dari lokasi-lokasi rujukan ini. Namun pelayaran pada waktu malam begitu sukar kecuali pada malam-malam bulan purnama. Kapal-kapal terpaksa melabuhkan sauh ketika malam menjelma. Banyak kapal terkandas dan terdampar, tak kurang juga yang karam kerana terlanggar beting pasir dan pantai yang cetek ketika belayar malam. Itu belum lagi termasuk kapal, tongkang atau sampan yang terpaksa berlindung di sebalik pulau-pulau mengelakkan ribut pada waktu malam.
Tidak dapat dinafikan sebelum Nusantara dijajah oleh kuasa –kuasa Barat, memang tiada kerajaan Melayu yang menyediakan perkhidmatan pelayaran sebegini. Pelabuhan Melaka ketika dibawah kekuasaan Portugis menjadikan Cape Rachado atau Tanjung Tuan sebagai panduan kapal-kapal dari utara Selat Melaka untuk ke pelabuhan tersebut. Pada tahun 1855, British membina Raffles Lighthouse di Singapura dan seterusnya Rumah Api di Pulau Pisang. Kedua-dua penjajah ini mengaut keuntungan lumayan dengan mengenakan caj rumah api kepada setiap kapal yang melalui kawasan perairan jajahan mereka. Begitu juga di Jugra. Sebagai panduan pelayaran keluar masuk jeti di situ, bermula pada tahun 1875 lagi, British membina rumah api di Kuala Jugra, bukannya di atas Bukit Jugra. Kuala Jugra ini ialah di Tanjung Tongkah masa kini. Rumah api awal ini merupakan binaan kayu yang ditanam di atas tebing sungai tersebut. Lampu rumah api ini merupakan lampu ribut minyak tanah bersumbu yang biasa digunakan di dalam kapal pada masa itu. Kelemahan pelita ini ialah jarak penglihatan yang terhad. Sering kali lampu ini terpadam kerana tiupan angin badai. Pekerjanya terpaksa bersampan untuk memasang apinya pada setiap senja dan ketika terpadam akibat ribut.
Kesimpulannya, rumah api menjadi pedoman kepada pelayar Selat Melaka dan menjadi penanda pintu laluan keluar masuk ke perairan sesuatu negeri atau negara. Hanya catatan masa kini tentang menara kedua rumah api ini yang dibina oleh kerajaan Malaysia di bawah agensinya Jabatan Laut Malaysia. Seolah-olah secara rasminya Rumah Api Bukit Jugra memulakan misinya pada tahun 1976.
![]() | ![]() | ![]() |
---|---|---|
![]() | ![]() | ![]() |